Isnin, 4 Jun 2012
Gunakan Medium Hiburan Sebagai Dakwah -Aishah.
ALOR SETAR: Aishah atau nama sebenarnya Wan Aishah Wan Ariffin(gambar) berkata, PAS harus memberi pencerahan kepada golongan artis untuk menggunakan medium hiburan sebagai dakwah kepada masyarakat.
"Bila PAS sampai Putrajaya, jangan lupakan artis di sini.
"Saya menyeru PAS bersabar dalam mentarbiyah golongan artis, bimbinglah kami untuk selamat di dunia dan akhirat," kata Aishah dalam nada sebak di hadapan lebih 50,000 yang hadir di Himpunan Hijau Menuju Putrajaya di Stadium Darul Aman, dekat sini malam tadi.
Penyanyi popular tahun 90-an itu, yang menyertai PAS baru-baru ini meletakkan harapan kepada parti itu terus mendekati dan membimbing golongan artis.
Aishah yang pernah popular dengan lagu Janji Manismu dan Bahtera Merdeka juga yakin artis memainkan peranan yang besar untuk menarik masyarakat khususnya golongan muda mencintai Islam.
"Ceramah beri pandangan dari sudut intelek, muzik pula beri pandangan tentang perasaan.
"Golongan artis ada peranan mereka dalam menyampaikan, cuma cara penyampaian kadang-kadang membuatkan kita jauh dari Islam.
"Kita kena ramaikan ustaz dan ilmuan yg boleh bangunkan bidang seni supaya semua artis dapat berkarya berdasarkan al Quran dan hadis," katanya.
Aishah juga berkata, tindakan PAS memberikan peluang kepada golongan artis sepertinya untuk sama-sama berada di pentas ceramah membuktikan parti itu adalah untuk semua masyarakat.
"25 tahun saya berada di pentas hiburan. Malam ini saya sangat terharu diberi peluang berada di pentas PAS dan membuktikan PAS for everyone," katanya disambut laungan takbir dan sorakan semangat hadirin sambil mengibarkan bendera PAS di segenap ruang stadium. (IH/Hrkh)
Langgan:
Catat Ulasan (Atom)
Tiada ulasan:
Catat Ulasan